Hi semua,
Terima kasih atas balasan saudara. Saya sememangnya jahil tentang permasalahan politik ini. Banyak yang saya tidak ketahui. Maaf. Hidup bertetangga sememangnya ada pasang surutnya. Pepatah melayu berkata “sedangkan lidah lagi tergigitâ€Â.
Berkaitan filem itu pula, saya sukar membuat kesimpulan kerana saya tidak punyai akses kepada klip filem tersebut. Tetapi jika ianya adalah suatu yang rasmi terbitan Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Malaysia berkeras bahawa ianya milik mereka walau terbukti bukan, maka saudara berhak untuk marah dan menyatakan bantahan. Tetapi jika ianya diterbitkan oleh pihak lain maka keadaannya berbeza. Daripada maklumat, ianya terbitan Discovery Channel dan DC telah mengirim surat memohon maaf dan penjelasan kepada Menteri Pelancongan Indonesia. Saya faham perasaan pihak Indonesia, walaupun begitu, kita masih punyai kesantunan untuk beremosi dan berbantahan. Adalah tidak begitu berhemah untuk membakar bendera negara tetangga untuk insiden tersebut dengan sembrono.
REOG Ponorogo: Seperti yang saya katakan sebelumnya, saya berdarah daging dari Indonesia, dan begitu juga sebahagian rakyat Malaysia berdarah daging dari Indonesia. Oleh itu kita punyai banyak persamaan dalam budaya. Ibu mertua saya keturunan Banjar. Bapa mertua saya berketurunan Jawa. Dan semestinya mereka membawa budaya mereka ke mana sahaja mereka pergi. Apabila rakyat Malaysia berketurunan Cina mempamerkan tarian Naga, adakah negara China beremosi menuntut hak milik tarian tersebut? Tarian adalah hak milik satu bangsa, bukan negara. Dan apabila satu bangsa telah bermastautin di satu negara untuk sekian lama, maka salahkah untuk negara tersebut menjadikan tarian tersebut sebahagian daripada budaya negaranya? Tarian Naga adalah sebahagian daripada budaya Malaysia dan bukan sahaja China. Begitu juga tarian yang dikenali sebagai Barongan di Malaysia, telah menjadi sebahagian budaya Malaysia kerana bangsa yang mengamalkannya telah menetap di sini. Begitu juga seni silat, ianya milik bangsa melayu bukan negara. Bukankah tindakan menghak milikkan satu budaya bangsa sebagai milik negara hanya menidakkan hak satu bangsa untuk mengamalkan budayanya? Setahu saya di Malaysia, tiada sesiapa menjuarai isu untuk mempatenkan satu-satu tarian itu milik negara. Ianya sekadar dipamerkan dan dibanggakan kerana dibudayakan satu bangsa yang menetap di Malaysia.
Untuk mengatasi masalah ini, kita mesti menghentikan sikap menghakmilik negara bagi kebudayaan satu bangsa. Kenapa perlu Bahasa Malaysia atau Bahasa Indonesia? Bukankah asalnya ia Bahasa Melayu? Kenapa tidak dinamakan Bahasa Melayu? Ini yang harus kita perjuangkan. Penyatuan. Carilah titik pertemuan. Bolehkan Malaysia mengatakan Bahasa Melayu itu milik Malaysia? Tentu tidak boleh kerana ianya milik bangsa Melayu, dan ianya telah bercambah di Nusantara, menjadikannya bahasa Indonesia, Bahasa Malaysia dan yang seakan-akan dengannya. Begitu juga tarian Ponorogo sudah tersebar dengan tersebarnya bangsa itu, lalu menjadi tarian Barongan di Malaysia, walau hakikatnya berakar umbikan dari wilayah Indonesia yang juga dalam rumpun kepulauan Melayu bangsa melayu. Kewujudan tarian itu sendiri lebih dahulu daripada kewujudan negara Indonesia mahupun Malaysia. Kerana ia tidak diwujudkan oleh negara, tetapi oleh satu bangsa. Perlu berperangkah hanya kerana tarian? Barat sedang mencari-cari ilmu dan teknologi baru, kita bangsa rumpun Melayu mahu berperang berebut hak milik bangsa bersama? Seperti Arab berperang berebut telaga minyak untuk diberikan kepada tuan Baratnya?
Sebagai rakyat Malaysia, jujur saya mengatakan, terdapat juga perkara yang menyinggung rakyat malaysia. Contohnya fenomena jerebu asap akibat pembakaran terbuka di wilayah tetangga Indonesia. Tetapi rakyat Malaysia tidak pula sehingga berantakan beremosi kepada tetangganya.
Dalam semua keadaan, saya lebih suka menyalahkan media. Ianya berkait rapat dengan peranan media. Media boleh menjernihkan keadaan atau mengeruhkannya. Sepertimana kita berdiskusi di sini, ianya boleh menjadi aman atau sebaliknya. Bergantung bagaimana caranya kita berbudi bahasa.
Manusia akan terus menerus berebut hak milik. Sehinggalah saat kematian baru diketahui bahawa segalanya milik Allah jua.
Maaf sekali lagi jika terkasar bahasa. Saya sendiri bukanlah arif tentang apa yang kita perbincangkan, cuma berkeinginan untuk melihat kita serumpun dapat menikmati budaya milik kita bersama, bukan milik mana-mana negara.
Salam.
